Hampir 400 mangsa terkandas tanah runtuh di Wang Kelian

KANGAR, 23 November – Hampir 400 mangsa terkandas di Wang Kelian dekat Padang Besar, selepas berlaku runtuhan tanah di Jalan Wang Kelian, sekitar 1 tengah hari tadi berikutan hujan berterusan sejak awal pagi hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hampir 300 rakyat Malaysia yang pulang dari Thailand dan penduduk setempat terjejas, ditempatkan di Masjid Nurul Husna.
  • Polis Padang Besar dan agensi lain seperti bomba, APM dan JKR memantau situasi di lokasi.
  • Masjid dipilih kerana kedudukannya di kawasan tinggi, memastikan keselamatan mangsa sementara.
  • Jalan masih ditutup malam ini kerana kebimbangan pergerakan tanah berikutan hujan berterusan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata mereka terdiri daripada 300 rakyat Malaysia yang pulang dari Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian dan selebihnya penduduk setempat yang terjejas banjir.

Mohd Shokri berkata mereka kini ditempatkan di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian.

“Keadaan mereka selamat di masjid ini sebab kawasan situ agak tinggi. Pihak polis bersama agensi lain seperti bomba, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan JKR (Jabatan Kerja Raya) berada di sana bagi membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Mohd Shokri berkata setakat malam ini laluan di jalan berkenaan masih belum dibuka kerana bimbang berlaku pergerakan tanah memandangkan keadaan masih hujan.-BERNAMA

Hey there! Ask me anything!