SERDANG, 6 Disember– Lebih 6,000 warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama ahli keluarga masing-masing hadir memeriahkan Hari Keluarga KKDW yang berlangsung di MAEPS, Serdang.
Bertemakan ‘Santunan Kasih Keluarga KKDW’, program itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Acara yang bermula seawal pukul 7.00 pagi tersebut menawarkan 37 aktiviti menarik merangkumi sukaneka, cabaran interaktif, ruang santai, 31 gerai jualan makanan serta 11 reruai pameran, sesuai untuk pelbagai peringkat umur.
Program itu sekali gus menyatukan hati dan semangat seluruh warga KKDW untuk meraikan kebersamaan serta mencipta momen bermakna bersama.
“Dengan adanya lapan rumah sukan yang menggabungkan warga daripada pelbagai jabatan dan agensi, kita bukan sahaja dapat saling mengenali dengan lebih dekat, tetapi yang lebih penting, dapat memperkukuh keakraban dalam keluarga besar KKDW selepas ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan kepada semua warga yang hadir.
Menambah kemeriahan, semua peserta hadir dengan pakaian ‘Retro Kampung’ (era 60–80-an) dan memakai bandana mengikut lapan warna rumah sukan, sekali gus mencetuskan suasana unik dan berwarna-warni di lokasi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.
Program turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh artis tanah air termasuk Datuk Jamal Abdillah, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi.