KUALA LUMPUR, 24 November – Beberapa kawasan dijangka terus mengalami hujan lebat sehingga 26 November 2025.
- Hujan lebat dijangka berterusan sehingga 26 November di utara, pantai timur dan sebahagian Lembah Klang.
- Amaran bahaya dikeluarkan untuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu; amaran buruk untuk beberapa daerah di Kedah dan Pulau Pinang.
- Orang ramai dinasihatkan peka terhadap amaran cuaca dan rujuk portal MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau talian hotline 1-300-22-1638.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), jangkaan tersebut meliputi kawasan di utara, pantai timur dan sebahagian Lembah Klang.
Menurut jabatan itu, amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan melibatkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Seluruh kawasan Perlis serta beberapa daerah di Kedah termasuk Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Sik turut terlibat.
“Ini selain di Kelantan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh, serta Besut di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan untuk daerah Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah serta seluruh Pulau Pinang.
Ini turut merangkumi beberapa daerah di Perak dan Kelantan, serta hampir seluruh kawasan di Terengganu termasuk Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Dalam masa sama, amaran hujan berwaspada diberikan melibatkan kawasan di Pahang meliputi Raub, Bentong dan Temerloh, serta Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak di Selangor yang berkuat kuasa sehingga 24 November.
Sementara itu, beberapa kawasan lain di Perak, selain Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan di Pahang pula dijangka mengalami hujan berterusan sehingga 26 November.
Orang ramai disarankan sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan mendapatkan maklumat terkini melalui portal rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, serta saluran media sosial jabatan berkenaan. Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian hotline 1-300-22-1638.

