ILTIZAM dan I-PPA, pemangkin reformasi perkhidmatan awam – KSN

PUTRAJAYA, 6 Disember– Pekeliling ILTIZAM dan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA) bakal menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh tadbir urus jentera penyampaian kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pekeliling tersebut berperanan menyokong pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan (ILTIZAM) manakala I-PPA menjadi instrumen rasmi untuk mengukur, menilai dan memantau kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

“Dengan adanya pekeliling serta instrumen pengukuran ini, usaha memperkukuh tadbir urus berasaskan prestasi dapat dipertingkatkan, selaras dengan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berlandaskan prinsip ILTIZAM di bawah Tonggak Ketiga RMK13,” kata Tan Sri Shamsul Azri, hari ini.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan ILTIZAM selaras dengan Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) dan bergerak seiring dengan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

Setakat ini, sebanyak 1,007 projek RKB telah didaftarkan di seluruh negara dengan 323 projek siap, iaitu peningkatan 182 projek berbanding sebelum ini, sekali gus menjimatkan lebih RM2.01 bilion setahun daripada kos pematuhan.

Pelaksanaannya membolehkan proses berurusan menjadi lebih pantas, prosedur lebih mudah sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur.

Hey there! Ask me anything!