SHAH ALAM, 20 November– Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya wujud unsur pengabaian terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya, dalam insiden kemalangan membabitkan kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Selasa lalu.
- Siasatan terperinci CIDB dijalankan untuk mengenal pasti punca runtuhan ECRL di MRR2.
- Langkah bawah Seksyen 34C(1) Akta CIDB 1994 digunakan dalam siasatan.
- Kerja pembinaan di tapak diberhentikan serta‑merta pada 19 November sehingga siasatan selesai.
- Menteri menegaskan tindakan tegas jika wujud pengabaian keselamatan pengguna jalan raya.
- Insiden hampir meragut nyawa seorang wanita menekankan keperluan penambahbaikan keselamatan tapak.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian dan akan memastikan kontraktor yang terlibat tidak terlepas dari sebarang tindakan.
Siasatan dilakukan bawah 34C(1) CIDB 1994 (Akta 520).
“CIDB telah mengeluarkan arahan supaya kerja pembinaan di sekitar tapak insiden itu diberhentikan serta-merta pada 19 November, sehingga punca kejadian itu dikenal pasti dan aspek keselamatan ditambah baik dan terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kelengkapan ‘Launching Nose’ Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) Jabatan Kerja Raya (JKR), di Shah Alam
Dalam kejadian tersebut, seorang wanita nyaris maut selepas kenderaannya dihempap runtuhan binaan projek berkenaan.