Istana Terengganu prihatin, santuni penduduk terjejas banjir

KUALA TERENGGANU, 1 Disember – Keprihatinan pihak istana Terengganu terhadap penduduk terjejas banjir terserlah apabila Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail meninjau beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daerah Marang di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
 
Turut mengiringi lawatan, adindanya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato’ Seri Muhammad Mua’az, dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Rombongan diketuai Tengku Muhammad bergerak ke beberapa PPS di beberapa sekolah untuk bertemu sendiri dengan penduduk terjejas banjir di daerah-daerah berkenaan, antaranya, Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai, SK Rengas Bekah dan SK Atas Tol.
 
Di SK Atas Tol, Yang di-Pertuan Muda sempat meninjau sebuah kelas yang dijadikan PPS, bertemu penduduk terjejas yang ditempatkan di khemah-khemah sementara, serta menyantuni mereka selama kira-kira 20 minit.

Usaha tersebut merupakan komitmen pihak istana dalam memastikan kesejahteraan dan sokongan berterusan kepada mereka yang terlibat banjir dan ditempatkan di PPS.
 
Ketiga-tiga anakanda Sultan Terengganu dan Sultanah Terengganu itu juga berkenan menyampaikan sumbangan barangan asas dapur dan bantuan kewangan kurniaan pihak istana bagi meringankan beban mereka.
 
Rombongan Diraja tersebut kemudian meneruskan lawatan ke daerah Kuala Nerus untuk meninjau PPS di SK Bukit Nanas dan SK Bukit Guntung.
 

Hey there! Ask me anything!