PUTRAJAYA, 14 November -Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan pertama dengan Kerajaan Sabah pada Isnin depan, berhubung isu tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari negeri itu.
Wakil Menteri Kabinet Persekutuan dari Sabah bagi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) Datuk Armizan Mohd Ali berkata , persetujuan bagi memulakan rundingan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, rundingan itu akan dimulakan dengan mesyuarat peringkat pegawai diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Safar Utong.
“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut memutuskan bahawa rundingan teknikal antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah akan dimulakan dengan segera bagi melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
“Mesyuarat yang pertama di peringkat pegawai di antara wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah akan diadakan di Menara Kinabalu, Sabah,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini.
Datuk Armizan dilantik sebagai Wakil Sabah bagi menggantikan Datuk Ewon Benedick yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota kabinet pusat baru-baru ini.