PUTRAJAYA, 4 Disember – Resolusi berhubung isu 10 ladang FGV Holdings Berhad (FGV) yang dikenakan notis larangan menceroboh oleh Kerajaan Terengganu akan dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Lembaga Pengarah Felda dan FGV mengadakan mesyuarat hari ini (Khamis) bagi mencari saranan, cadangan serta penyelesaian berhubung perkara berkenaan.
“Sekarang ini sedang berlangsung mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA dan FGV, saya sendiri akan membawa permasalahan ini ke (mesyuarat) Jemaah Menteri esok.
“Saya pasti beberapa saranan dan cadangan kepada resolusi mesyuarat Lembaga Pengarah akan disampaikan kepada saya dan saya akan bincangkan esok di mesyuarat Jemaah Menteri untuk beberapa langkah tindakan segera dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini.