Isu tanah Terengganu: Kerajaan Persekutuan teruskan perbincangan dengan Kerajaan Negeri, FELDA

PUTRAJAYA, 6 Disember – Kerajaan Persekutuan akan meneruskan perbincangan dengan wakil Kerajaan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi mencari penyelesaian berhubung isu pertikaian 10 ladang antara FELDA dengan FGV Holdings Berhad (FGV) di negeri berkenaan.

Jurucakap Kerajaan MADANI yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua pihak terlibat telah bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk mengadakan perbincangan lanjut semasa mesyuarat antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali pada Jumaat.

“Beberapa perkara telah disusuli semua pihak, termasuk FELDA telah bersetuju perbincangan lanjut perlu diadakan. Jadi kita turuti proses itu sebelum kita buat apa-apa keputusan.

“Mungkin dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, ada beberapa perkara akan dibangkitkan oleh Perdana Menteri. Perbincangan akan diteruskan,” ujar beliau.

Datuk Fahmi ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat (KIS) 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini.

Beliau turut memaklumkan tiada perbincangan antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Kabinet berhubung perkara tersebut.

Pada 30 November lalu, Kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri berkenaan.

Hey there! Ask me anything!