MAMBAU, 17 Disember– Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan Minggu Op Gerak Kebangsaan 2025 secara menyeluruh di seluruh negara dari 4 hingga 16 Disember lalu di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dr. Norhazni Mat Sari berkata operasi itu memberi tumpuan kepada kawalan pencemaran daripada kenderaan bermotor termasuk pelepasan asap dan gas, bunyi bising, kandungan bahan api serta pengurusan refrigeran.
“Secara statistik, kawalan pelepasan yang dilaksanakan sepanjang Op Gerak di seluruh negara memberi tumpuan kepada pelepasan enjin diesel dan petrol. Hasil pemantauan mendapati terdapat beberapa paras pelepasan yang dikenal pasti melalui bacaan mesin serta pemeriksaan lapangan yang dijalankan oleh pegawai kami.”
Selain itu, menerusi Op Gerak ini, pihak kami turut melaksanakan kawalan pelepasan motosikal, pemantauan bunyi bising, serta pemeriksaan ke atas stesen minyak petrol dan diesel, termasuk premis serta perusahaan berkaitan,” kata Dr. Norhazni kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada Sidang Media Penutup Minggu Operasi Gerak Kenderaan Motor Peringkat Kebangsaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di RnR Mambau, Negeri Sembilan.
Sepanjang Minggu Op Gerak Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar telah memeriksa 9,269 kenderaan dengan 93.9 peratus daripadanya didapati mematuhi peraturan manakala 6.1 peratus lagi tidak patuh.
Justeru, ia membawa kepada pengeluaran 287 notis arahan, 22 perintah larangan serta 208 syor tawaran kompaun terhadap kesalahan yang dikenal pasti.
JAS turut mengeluarkan notis arahan, perintah larangan serta tawaran kompaun terhadap kesalahan yang dikenal pasti.
Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan sebagai usaha berterusan memastikan kualiti alam sekitar dan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.