PUTRAJAYA, 5 Disember – Jemaah Menteri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, empat anggota Kabinet mewakili Jemaah Menteri telah menziarahi keluarga dan menghadiri pengebumian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar di Sabah.
“Anggota Jemaah Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili jemaah menteri untuk menziarahi keluarga dan menyampaikan ucap takziah,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Datuk Seri Bung Moktar, 66 tahun meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Sabah, pada pukul 1.46 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas selepas solat Jumaat.
Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, 29 November lepas.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
“Apabila beliau mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet Sabah, secara teknikalnya beliau tidak lagi menjadi anggota Jemaah Menteri peringkat Persekutuan. Walaupun sebelum ini Datuk Ewon, diberikan cuti semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri, kedudukannya sebagai anggota Jemaah Menteri Persekutuan terhenti sebaik sahaja mengangkat sumpah jawatan baharu di Sabah,”jelasnya.
Datuk Ewon, yang juga Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), dilantik Timbalan Ketua Menteri II Sabah serta memegang portfolio Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.