PASIR PUTEH, 7 Disember – Guru yang maut akibat kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya jatuh gaung, Hassan Shazali, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Menanti, Pasir Puteh, Kelantan pada 9.10 malam tadi.
Terdahulu, jenazah arwah tiba dirumah ibunya, Mek Som Ishak kira-kira 6 petang pada Sabtu diiringi ahli keluarga terdekat.
Jenazah arwah kemudiannya disolatkan di masjid Al Ikhlas, Kedai Menanti dan diimamkan anak sulungnya Amir Haziq Hassan, 24.
Kakak arwah, Rohani Ghazali, 63, berkata, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa adik kelimanya.
Beliau berkata, arwah merupakan seorang adik yang sangat baik, pemurah dan suka berselawat.
Katanya, arwah juga turut disenangi anak-anak saudaranya kerana dia sangat baik walaupun agak pendiam.
“Arwah baik dengan adik-beradiknya, pemurah dan sangat baik dengan aanak-anak saudaranya tetapi dia seorang yang pendiam,” kata Rohani.
Menurut Rohani lagi, arwah akan balik ke kampung setiap minggu untuk menjenguk emaknya dan setiap kali pulang, arwah akan sentiasa minta maaf.
Tambah Rohani, keluarga tahu hasrat arwah untuk berkahwin baru dan arwah merancang untuk merisik pada 20 Disember dan melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengetahui arwah dengan bakal isterinya itu dalam perjalan dari mana, namun dipercayai mencari barangan hantaran untuk majlis kahwin mereka nanti.
Media sebelum ini melaporkan, guru Sekolah Kebangsaan Lebir dan pekerja kantin, Suzaimah Che Azis, 34, maut selepas kenderaan dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung sedalam 67 meter di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris -Sg Gawi – Aring, Bukit Kawah, Gua Musang, Kelantan.

