KUALA PILAH, 3 Disember – Penduduk Kampung Orang Asli, Guntur menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi menerusi perluasan infrastruktur gentian optik di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menurut Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli perlaksanaan di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu membuktikan bahawa akses internet kini menjadi keperluan asas yang wajib dimiliki, selain memastikan keluarga serta pelajar mendapat akses pembelajaran dalam talian yang lebih baik.
“Ini merupakan salah satu inisiatif di bawah MCMC untuk memastikan setiap penduduk di Negeri Sembilan, terutamanya di kawasan luar bandar, mendapat liputan internet yang optimum. Di Kampung Guntur, ini adalah projek pertama yang menggunakan gentian optik. MCMC telah menugaskan TM sebagai agensi pelaksana, dan alhamdulillah, projek ini telah siap dan boleh digunakan, terutamanya oleh komuniti orang Asli. Kita melihat bahawa golongan ini juga mempunyai keperluan untuk menikmati liputan internet yang sempurna,” katanya.
Beliau ditemui media RTM ketika mengadakan lawatan kerja ke Tapak Infrastuktur Komunikasi bagi Projek Gentian Optik (Fibre-To-The-Home) di bawah inisiatif MCMC dan Kempen Internet Selamat di Kampung Orang Asli (KOA) Guntur, di Kuala Pilah.