TAWAU, 5 Disember – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri Ke-21 bagi kategori usir melalui laut untuk tahun 2025, melibatkan seramai 397 tahanan dari Depot Imigresen Sandakan pada Khamis.
Menurut Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu melalui Terminal Feri Tawau, sebelum kesemua tahanan dibawa ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan kapal feri Francis Express, Labuan Express dan Purnama Express.
“Kesemua tahanan yang dipindahkan terdiri daripada 286 lelaki dewasa, 76 perempuan dewasa, 31 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan empat kanak-kanak berusia 23 bulan ke bawah,” katanya.
Beliau berkata, purata umur tahanan adalah antara tiga hari hingga 78 tahun dan kanak-kanak yang terlibat dalam program berkenaan diiringi oleh ibu bapa serta penjaga masing-masing.
Setakat hari ini, seramai 2,251 warganegara Indonesia telah dihantar pulang ke negara asal, sekali gus menyumbang kepada jumlah keseluruhan PATI yang telah dipindahkan ke negara asal dari Negeri Sabah iaitu seramai 10,212 orang.
Menurut beliau, kesemua PATI terbabit telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta dikeluarkan Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal.
Tambahnya, pelaksanaan program pemindahan ini tertakluk kepada tempoh masa pengeluaran SPLP oleh pihak KJRI di Negeri Sabah.
Dalam pada itu, pihak majikan turut disarankan supaya memastikan setiap pekerja asing memiliki dokumen sah dan jaminan bekerja bagi mengekang lambakan PATI di negeri ini.
“JIM Sabah akan terus komited dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen yang sah,” katanya.
Majikan yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi pendatang tanpa izin.