KUALA LUMPUR, 11 November – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelbagai langkah proaktif telah dirangka bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan jabatan tersebut.
Datuk Seri Nancy Shukri/RTM
“Apabila Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diumumkan, memang antara agenda utama ialah memastikan JKM bersiap sedia dengan segala keperluan yang diperlukan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), seperti kelengkapan asas dan bantuan kepada mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Bicara Naratif di Angkasapuri, Kota Media, di sini pada Isnin.
Menurutnya, JKM turut melaksanakan latihan kesiapsiagaan dan simulasi pengurusan bencana dengan kerjasama agensi penyelamat serta pihak berkuasa tempatan, seperti yang telah diadakan di Sarawak baru-baru ini.
“Kita telah mengadakan simulasi di Sarawak di mana mereka membawa segala keperluan untuk menilai kecekapan dan ketepatan masa. Selain itu, individu yang berada di kawasan berisiko banjir perlu berdaftar dengan JKM supaya mereka dapat dikenal pasti dan dihubungi dengan lebih mudah sekiranya bantuan diperlukan,” jelasnya.

