
“Rakan media merupakan rakan strategik jangka panjang kementerian kerana kalau bukan disebabkan mereka, segala aktiviti, dasar dan polisi yang dijalankan kementerian tidak diketahui rakyat dan tidak sampai kepada mereka.
“Tugas dan tanggungjawab yang dimainkan media banyak membantu pihak kementerian semasa pandemik terutama dalam mendapatkan berita dan untuk melihat supaya tiada antara rakyat yang tercicir dan memastikan mereka yang memerlukan bantuan perlu kita santuni,” katanya semasa berucap dalam program Jalinan Mesra Menteri KPWKM bersama lebih 100 pengamal media di sini, semalam.

Beliau juga berharap silaturahim yang terjalin antara kementeriannya dengan media akan terus berkekalan demi memastikan maklumat yang tepat dapat terus disampaikan kepada rakyat.
Di masa yang sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengamal media yang sentiasa memberi sokongan, dorongan dan kritikan yang membina sepanjang beliau menerajui kementeriannya.