PERMATANG PAUH, 29 November – Penganjuran Karnival Al-Falah MADANI di Masjid Mengkuang Titi, Permatang Pauh berperanan sebagai platform untuk mempromosi nilai-nilai Islam serta mendekatkan masyarakat dengan perkhidmatan agensi agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata karnival berkenaan turut menjadi ruang untuk memperkenalkan dasar serta aspirasi Malaysia MADANI kepada rakyat.
“Dalam konteks Kerajaan MADANI, kita nak menyatukan rakyat. Karnival ini salah satu kaedah untuk kita menyatukan dan memberi maklumat kepada masyarakat setempat tentang peranan agensi-agensi, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.
“Kita buat Jelajah MADANI Ulama dan Umara (JMUH); kita himpunkan para asatizah, ulama, guru KAFA, imam, takmir, kita sambut mereka dan beri anugerah di peringkat kebangsaan. Ada enam orang tadi yang kita raikan imamnya, guru takmirnya, KAFA dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program itu yang merupakan siri kedua penganjuran, selepas edisi sulungnya di Pahang.
Karnival tersebut dianjurkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jakim, JHEAIPP dan MAINPP.