Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ke-4 bermula 28 November

KUALA LUMPUR, 17 November – Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali ke-4 akan diadakan dari 28 hingga 30 November ini bagi memberi peluang kepada bakal jemaah haji mendapatkan maklumat tepat, telus dan terkini, sekali gus mengelakkan kes penipuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Karnival berlangsung 28–30 November untuk beri maklumat tepat, telus dan terkini kepada bakal jemaah haji.
  • 34 Pengelola Jemaah Haji berlesen di bawah Tabung Haji menawarkan pelbagai pakej mengikut keperluan.
  • Peringatan agar orang ramai tidak terperdaya oleh syarikat atau individu yang mengaku mempunyai visa palsu.
  • Acara termasuk podcast, simulasi haji cilik, persembahan nasyid, dan pakej ekonomi bawah RM55,000.

Ketua Jabatan Haji, Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun berkata, sebanyak 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah seliaan TH akan menawarkan pelbagai pakej haji mengikut kemampuan dan keselesaan para bakal jemaah.

“Inilah syarikat-syarikat yang telah dilesenkan oleh Tabung Haji. Mana-mana syarikat lain selain daripada yang telah dilesenkan adalah tidak dibenarkan atau salah dari segi akta untuk melaksanakan haji.

“Saya meminta orang ramai supaya tidak terperdaya oleh penipuan dan scam daripada syarikat atau individu yang mengaku mempunyai visa, kerana kerajaan Arab Saudi menekankan tiada haji tanpa visa yang sah,” katanya.

Tambah beliau, selari dengan kempen menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, karnival itu turut memberi manfaat kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai pakej umrah dan pelancongan.

Antara program yang akan diadakan ialah Bual Bicara Podcast TH, Simulasi Haji Cilik, serta persembahan kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti Raihan, Inteam dan Mawi.

Bakal berlangsung di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), Sepang, karnival tahunan itu juga menawarkan pelbagai pakej ekonomi di bawah RM55,000.

Hey there! Ask me anything!