Kecuaian pemandu punca SUV terjunam 61 meter di Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi

HULU TERENGGANU, 7 Disember – Kecuaian pemandu dikenal pasti sebagai punca tragedi yang mengorbankan dua individu apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjunam ke dalam gaung sedalam 61 meter dalam kejadian Jumaat lalu di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring berhampiran Bukit Kawah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata siasatan awal mendapati SUV berkenaan dipercayai dipandu terus menuju ke kawasan jalan yang telah terputus sebelum jatuh ke dalam gaung.

0712 KT OCPD ARING MAUT 2Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab/Foto RTM

“Berdasarkan siasatan, puncanya adalah kecuaian pemandu. Mungkin dia terlupa atau tidak memberi perhatian kepada papan tanda arah. Kita juga tidak mengesan sebarang kesan brek di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan nahas hari ini.

Beliau turut memaklumkan, pemeriksaan serpihan kenderaan pada lereng gaung menunjukkan kenderaan tidak dipandu pada kelajuan tinggi ketika kejadian.

Turut ditemukan pada SUV tersebut ialah tapak kamera papan pemuka (dashcam), namun alat tersebut tidak dijumpai dan dipercayai tercampak semasa kejadian.

Dalam masa sama, Sharudin mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan jalan yang telah diwartakan tutup oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jalan ini telah lama ditutup. Namun ada individu tidak bertanggungjawab yang membuka halangan konkrit itu. Kita akan ambil tindakan tegas, termasuk tindakan saman di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menceroboh,” ujarnya.

Pihak polis juga akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan tersebut bagi memastikan pengguna mematuhi arahan penutupan jalan.

Sementara itu, beliau berkata proses mengeluarkan SUV terbabit pada Sabtu mengambil masa hampir empat jam berikutan cuaca hujan yang menyukarkan operasi sebelum kenderaan berjaya dibawa naik dan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Jumaat lalu, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki seorang guru, Hassan Shazali, 52, dan Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Hey there! Ask me anything!