KUALA LUMPUR, 23 November – Kemajuan industri sawit negara perlu bergerak seiring dengan usaha pemuliharaan biodiversiti bagi memastikan pembangunan sektor komoditi itu kekal lestari dan berdaya saing.
- Kemajuan industri sawit mesti selari dengan usaha pemuliharaan biodiversiti untuk kelestarian dan daya saing.
- Mengekalkan keseimbangan antara hasil ekonomi dan penjagaan alam sekitar amat penting.
- MPOGCF membiayai 24 projek biodiversiti meliputi penghutanan semula, pemuliharaan hidupan liar, pertanian mampan dan penyelidikan.
- Program pemuliharaan membantu pekebun kecil dan pengurus ladang mengurus tanaman lebih bertanggungjawab serta kurangkan konflik hidupan liar.
- Jelajah Sawit Hijau 2025 meningkatkan kesedaran awam, menunjukkan komitmen Malaysia dalam pemuliharaan tanpa menjejaskan ekonomi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohamad berkata keseimbangan antara hasil ekonomi dan penjagaan alam sekitar penting bagi memastikan industri terus diterima dalam pasaran global.
Ke arah memastikan keseimbangan itu dapat dicapai di peringkat lapangan, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) telah melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan di kawasan tanaman sawit.
Setakat ini, yayasan itu telah membiayai 24 projek biodiversiti di seluruh negara merangkumi empat bidang utama iaitu penghutanan semula, pemuliharaan hidupan liar, amalan pertanian mampan dan penyelidikan.
Dengan usaha ini, ia membantu pekebun kecil serta pengurus ladang menguruskan kawasan tanaman dengan lebih bertanggungjawab, sekali gus mengurangkan konflik hidupan liar yang kerap menjejaskan hasil.
“Industri sawit bukan pemusnah alam, sebaliknya terus menjadi penyumbang utama kepada pemuliharaan biodiversiti negara melalui pelbagai program penghijauan, konservasi dan penyelidikan,” katanya Majlis Perasmian Penutup Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 dan Pelancaran Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar di Lapangan.
Program tersebut berbentuk pendidikan dan hiburan yang dijalankan bersama agensi kerajaan, pertubuhan hidupan liar dan industri sawit yang meningkatkan kesedaran masyarakat dan membuktikan komitmen Malaysia dalam memelihara alam sekitar tanpa menjejaskan kemajuan ekonomi.
Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 berjaya menerima lebih 40,000 pengunjung di seluruh negara, melibatkan empat zon iaitu di Kedah, Terengganu, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Ia merupakan pameran bergerak yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan industri sawit Malaysia dan sumbangannya terhadap ekonomi negara.

