Kemajuan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak capai 99.98 peratus

KUALA LUMPUR, 3 Disember – Kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak kini berada pada tahap 99.98 peratus, sekali gus menunjukkan projek itu hampir siap sepenuhnya.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi , jajaran sepanjang 786 kilometer itu melibatkan sebelas pakej kerja, dan sepuluh daripadanya telah siap serta dibuka secara berperingkat untuk kegunaan rakyat.

“Projek ini sudah mencapai tahap 99.98 peratus. Tinggal satu pakej sahaja yang belum disiapkan kerana terdapat keperluan kritikal menukar paip air sedia ada sebelum kerja menaik taraf jalan dapat dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Datuk Seri Ibrahim di Dewan Negara hari ini.

Katanya, Pakej Kerja WPC 11 tidak dapat disiapkan mengikut jadual asal susulan proses menukar paip milik Sarawak Water Sdn. Bhd. (LAKU) perlu dibuat terlebih dahulu.

Ia bagi mengelakkan gangguan bekalan air ke bandar Miri dan memastikan jalan tidak rosak pada masa hadapan.

Tambah beliau, kementerian sedang merunding semula harga dan skop kerja bagi pengalihan paip dan pembinaan semula jalan, yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula suku pertama 2026, sebelum dijangka siap pada suku pertama 2029.

“Penukaran paip perlu dibuat dahulu. Kalau kita teruskan pembinaan tanpa selesaikan isu ini, risiko kerosakan jalan akan berlaku dan rakyat pula akan berdepan gangguan bekalan air,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa Projek LPB2 kini dikenali sebagai Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) dan Northern Coastal Highway (NCH).

Seksyen Miri di bawah Projek LTB sepanjang 4.951 kilometer sedang melalui proses tender dan pra-pembinaan.

Manakala jajaran Limbang serta Lawas menjadi sebahagian daripada Projek NCH yang dilaksanakan oleh Regional Corridor Development Authority (RECODA) di bawah Kerajaan Negeri Sarawak.

Katanya, bagi memastikan projek tidak mengalami kelewatan, kementerian memperketat sistem pemantauan, termasuk pelantikan jurutera perunding berpengalaman, mesyuarat penyelarasan berkala serta penguatkuasaan klausa Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) kepada kontraktor yang gagal menepati jadual.

“Kita akan pastikan tiada kompromi terhadap kualiti dan jadual. Penalti akan dikenakan jika kontraktor gagal menyiapkan kerja mengikut masa yang ditetapkan,” jelas beliau.

Datuk Seri Alexander menegaskan kerajaan komited memastikan projek berimpak tinggi ini disiapkan seperti dirancang bagi memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya dan memberi manfaat terus kepada rakyat Sarawak.

Hey there! Ask me anything!