KUALA LUMPUR, 24 November – Kadar kemiskinan tegar negara menunjukkan penurunan ketara, daripada 0.2 peratus pada tahun 2022 kepada 0.09 peratus pada 2024.
Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, perkembangan ini membuktikan bahawa usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar semakin membuahkan hasil.
Jelas beliau, pencapaian tersebut didorong oleh pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi yang menumpukan kepada peningkatan pendapatan serta kesejahteraan rakyat.
Usaha ini juga selaras dengan fokus meningkatkan mobiliti sosial di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Pemberian Tunai Rahmah (STR) yang bermula sejak 2023, dengan peruntukan tahun 2026 sebanyak RM15 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah. Selain itu, pelaksanaan Inisiatif Payung Rahmah yang dimulakan sejak 2023 menerusi peruntukan sebanyak RM600 juta pada tahun 2026.
“Pelbagai bantuan kebajikan juga disediakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada lebih 560,000 isi rumah, merangkumi golongan miskin tegar, OKU dan warga emas, dengan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion. Selain pelaksanaan program Sejahtera Madani bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau menjawab soalan ahli parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan pada sesi persidangan Dewan Rakyat.
Tambah beliau, antara cabaran utama membasmi kemiskinan tegar ialah kemiskinan bersifat dinamik, menyaksikan status sesebuah isi rumah boleh berubah mengikut keadaan.
Sehubungan itu kerajaan terus menekankan pembangunan kemahiran dan modal insan, termasuk melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai pelengkap kepada pelbagai program sokongan sosioekonomi untuk kumpulan sasar.

