BAGAN DATUK, 23 November -Kerajaan sedang melaksanakan koordinasi bersama pihak berkuasa Thailand bagi membantu lebih 4,000 rakyat Malaysia yang terperangkap dalam banjir di Hatyai.
- Kerajaan koordinasi dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Hatyai dan Songkhla untuk membantu lebih 4,000 rakyat Malaysia terperangkap banjir.
- Bersedia menggerakkan kenderaan berat jika laluan utama ditutup bagi memindahkan mangsa dari kawasan sukar dicapai.
- Kementerian Luar sahkan rakyat Malaysia terkandas di Hatyai berada dalam keadaan selamat, koordinasi berterusan dengan pihak Thailand.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan semasa disalurkan melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand bagi menyelaras usaha membawa pulang mereka yang terperangkap.
Menurut beliau, kerajaan juga bersedia menggerakkan kenderaan berat sekiranya banjir menutup laluan utama dan terdapat mangsa yang masih berada di kawasan sukar dicapai.
“Kita akan mendapat maklumat terkini daripada konsulat jeneral kita di Hatyai dan Songkhla dan koordinasi akan dibuat dengan Kementerian Luar Negeri dan mungkin dengan kerajaan Thailand juga dan gabenor di wilayah Hatyai, untuk kita memberi bantuan kepada mereka. Mungkin mereka mahu pulang cepat ke negara kita dan mungkin kita sediakan kenderaan berat untuk mengangkut mereka supaya dapat pulang ke kawasan masing-masing,” beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jelajah Wow Zoomers Agenda Nasional Malaysia Sihat di Dewan Dato’ Lope Hashim.
Terdahulu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai dan beberapa kawasan sekitar selatan Thailand dilaporkan berada dalam keadaan selamat.