Kerajaan komited menjunjung prinsip kebebasan media dan bersuara

KUALA LUMPUR, 3 November – Kerajaan sentiasa komited dalam menjunjung prinsip kebebasan media dan kebebasan bersuara.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, ia seperti termaktub dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media dan menjamin hak rakyat untuk bersuara menurut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Namun, kebebasan bersuara bukanlah mutlak. Ia perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan mengambil kira kepelbagaian budaya serta agama yang membentuk masyarakat majmuk di negara kita.

“Oleh itu, kebebasan media harus disokong dengan kod etika yang jelas bagi memastikan ia tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen mengenai isu kebebasan media serta kebebasan bersuara semasa sesi perbahasan di Parlimen, hari inii.

Menurutnya lagi, menerusi Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan , bahawa Parlimen boleh menetapkan sekatan terhadap kebebasan bersuara bagi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam, prinsip moraliti serta hubungan baik dengan negara lain.

Ia bagi memastikan undang-undang komunikasi negara kekal relevan dengan cabaran semasa.

Sejajar dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang telah dipinda melalui Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2025 [A1743],berkuat kuasa pada 11 Februari lepas.

Jelasnya, pindaan tersebut melibatkan Seksyen 233 Akta 588 yang menambahbaik peruntukan berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi termasuk di media sosial, dengan tujuan untuk meningkatkan keselamatan, integriti dan akauntabiliti ekosistem dalam talian di Malaysia, tanpa mengetepikan hak kebebasan bersuara rakyat.

Tegas beliau , Kementerian Komunikasi yang berperanan sebagai wadah penyampaian dasar kerajaan akan terus menjadi saluran menyuarakan kebenaran serta membina kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan media.

Hey there! Ask me anything!