KUALA LUMPUR, 17 November – Kerajaan akan melaksanakan langkah penguatkuasaan lebih tegas dan bertindak secara menyeluruh bagi menangani dua isu kritikal dalam sektor pengangkutan negara, kadar kemalangan jalan raya yang masih tinggi dan kesesakan trafik yang semakin meruncing.
- Penguatkuasaan lebih tegas terhadap pemandu dan kenderaan perdagangan untuk kurangkan kemalangan.
- Operasi bersepadu dan kaedah “three strikes out” bagi tuntutan muatan berlebihan serta penggunaan HS-WIM.
- Pemasangan SLD berfasa untuk lori dan bas, disokong insentif fiskal dalam Belanjawan 2026.
- Peruntukan RM15.5 bilion untuk naik taraf jalan, penyelenggaraan, lampu LED dan pelaksanaan ITS Malaysia 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata dalam satu kenyataan, perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Kali Ke-7 yang dipengerusikannya hari ini.
Menurut beliau, sehingga 30 September 2025, sebanyak 4,875 kematian akibat nahas jalan raya direkodkan, bersamaan purata 18 nyawa terkorban setiap hari meningkat berbanding purata 17 kematian sehari pada 2024.
Lebih 67 peratus daripadanya melibatkan penunggang motosikal.
“Peningkatan ini amat membimbangkan dan kerajaan akan mengambil langkah penguatkuasaan yang lebih tegas,” katanya.
Bagi menangani kesalahan kenderaan membawa muatan berlebihan, kerajaan melalui MOT dan JPJ kini meningkatkan operasi bersepadu di enam zon utama, Utara, Tengah, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak.
Pendekatan baharu turut dilaksanakan melalui kaedah “three strikes out”, di mana syarikat yang dikesan berulang kali membawa muatan berlebihan boleh dikenakan penggantungan lesen dan permit.
Penggunaan timbangan automatik Weigh-in-Motion (HS-WIM) juga akan dipertingkatkan, manakala pemeriksaan muatan diwajibkan di pintu masuk pelabuhan mulai 1 Julai 2025.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata langkah itu penting untuk mengurangkan risiko kemalangan maut dan memelihara integriti infrastruktur jalan raya negara.
Kerajaan turut menguatkuasakan pemasangan Speed Limitation Device (SLD) secara berfasa bagi kenderaan perdagangan bermula 1 Oktober 2025 bagi memastikan lori dan bas mematuhi had kelajuan.
Usaha ini disokong melalui cadangan insentif fiskal dalam Belanjawan 2026, termasuk Elaun Modal Dipercepatkan selama setahun bagi membantu syarikat menanggung kos pemasangan atau penalaan SLD di pusat bertauliah.
“Gabungan tindakan tegas dan insentif ini diyakini dapat meningkatkan disiplin pemandu serta menurunkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan memperuntukkan RM13 bilion untuk menaik taraf dan melebarkan jalan persekutuan serta negeri, dan sebanyak RM2.5 bilion bagi penyelenggaraan, penurapan semula jalan rosak serta penambahbaikan pencahayaan.
Sebanyak 3,000 unit lampu LED juga akan dipasang di hotspot kemalangan lebuh raya bagi meningkatkan keselamatan, terutamanya pada waktu malam.
Beliau turut memaklumkan mesyuarat bersetuju melaksanakan penambahbaikan saringan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan serta pelaksanaan Pelan Hala Tuju Intelligent Traffic System (ITS) Malaysia 2030 bagi menyokong agenda pengangkutan yang lebih pintar, selamat dan cekap.
Tegas beliau lagi isu keselamatan jalan raya dan kesesakan tidak boleh diletakkan pada satu agensi sahaja.
“Ia menuntut koordinasi antara kementerian, dasar berasaskan data serta keberanian membuat keputusan demi kelangsungan sistem pengangkutan negara,” katanya.
Beliau yakin dengan kefahaman dan pilihan mobiliti yang lebih baik, rakyat akan bersama-sama membentuk budaya pengangkutan baharu yang lebih selamat dan berdaya tahan.