KUALA LUMPUR, 13 November – Kerajaan komited memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan dengan pelbagai inisiatif bagi merangsang pengkomersialan hasil teknologi tempatan.
Ia selaras usaha menjadikan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, antara inisiatif utama ialah Dana R&D MOSTI, yang memberi tumpuan kepada pembangunan eksperimen dari peringkat pembuktian konsep (proof of concept) hingga produk sedia dikomersialkan.
“Kira-kira 18.16 bilion bersamaan lebih kurang 1.01 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) indikator ini merupakan penanda aras penting untuk mengukur kemajuan pelaksanaan dasar sains teknologi dan inovasi negara yang menyasarkan GERD pada kadar 2.5 peratus KDNK menjelang tahun 2030.
“Dapatan kajian turut menunjukkan nisbah perbelanjaan R&D antara sektor awam dan sektor swasta adalah pada nisbah 39 sektor awam 61 peratus sektor swasta ini adalah satu peningkatan daripada tahun 2020”, katanya.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan memperkasa ekosistem penyelidikan negara, memacu penciptaan inovasi tempatan yang kompetitif, sedia dipasarkan, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi inklusif dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian semasa menjawab Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof di Dewan Rakyat.