KUALA LUMPUR, 4 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas pengurniaan kebenaran untuk menggunakan dua ‘airboat’ berkuasa tinggi milik Seri Paduka Baginda sebagai aset operasi menyelamat mangsa banjir.
Beliau menerusi hantaran Facebook memaklumkan, pengurniaan tersebut membuktikan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi.
“Bagi pihak Kerajaan MADANI,saya merafak setinggi-tinggi penghargaan atas dukungan ini yang akan memperkukuh kesiapsiagaan serta melancarkan gerak kerja penyelamatan bersama agensi-agensi di lapangan jika berlaku gelombang kedua musibah banjir nanti,” menurut kenyataan itu.
Datuk Seri Anwar berharap agar dengan kerjasama semua pihak, usaha membantu mangsa banjir dapat dipertingkatkan dan keselamatan rakyat terus terpelihara.
Pada Mac 2023, tiga unit airboat milik Seri Paduka Baginda digerakkan bagi operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa banjir di Johor selain turut digunakan untuk menghantar bekalan makanan ke penempatan orang asli di kawasan Kluang yang terputus hubungan.