KESUMA gariskan hala tuju strategik, fokus reformasi pekerjaan

PUTRAJAYA, 18 Disember – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggariskan hala tuju strategik bagi tempoh dua tahun akan datang untuk meneruskan agenda reformasi menyeluruh serta memperkasa ekosistem pekerjaan negara.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, antara fokus utama ialah reformasi undang-undang buruh secara berterusan bagi memastikan kerangka perundangan sedia ada kekal progresif dan responsif terhadap cabaran baharu dunia pekerjaan.

Selain itu, Dasar Sumber Manusia Negara 2026–2035 akan digubal sebagai dokumen induk bagi hala tuju jangka panjang pembangunan tenaga kerja negara.

‘“Dalam masa akan datang, kami mempunyai pelbagai inisiatif yang telah dibincangkan secara ringkas, antaranya termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Buruh Paksa 2.0, pengenalan mekanisme levi berperingkat dan penyusunan semula fungsi.

“Juga penguatkuasaan, penubuhan Akademik Kesuma, serta pemerkasaan perlindungan sosial melalui PERKESO. “Ini antara inisiatif dan agenda utama yang akan diteruskan,” katanya pada sidang media selepas melaporkan diri secara rasmi pada Khamis, susulan mengangkat sumpah jawatan, 17 Disember lalu.

Beliau turut mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri Pengurusan Tertinggi KESUMA serta menerima taklimat menyeluruh berkaitan peranan, struktur dan keutamaan kementerianmbagi memastikan kesinambungan tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan amanah diberikan untuk menerajui KESUMA.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia terdahulu, Steven Sim atas usaha dan inisiatif penting yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatan sebelum ini.

Dalam masa sama, bagi menangani cabaran sektor ekonomi gig, KESUMA merancang penubuhan Majlis Perundingan Gig dan Tribunal Gig sebagai mekanisme tadbir urus serta penyelesaian pertikaian yang adil dan cekap, selaras dengan perkembangan pesat landskap pekerjaan gig di negara ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.