Ketagihan permainan dalam talian lemahkan kawalan diri, jejas hubungan keluarga

KUALA LUMPUR, 1 Disember – Ketagihan permainan dalam talian dalam kalangan remaja semakin meresahkan apabila penggunaannya secara berlebihan didapati menjejaskan fungsi otak serta kawalan tingkah laku, sekali gus memberi kesan kepada hubungan keluarga.

Pegawai Psikologi Klinikal, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurul Syasya Mohd Ridzwan Goh, berkata aktiviti permainan yang berterusan merangsang pengeluaran hormon dopamine secara berlebihan hingga mencetuskan ketagihan.

Menurutnya, sistem ganjaran otak melepaskan dopamine setiap kali pemain memperoleh kemenangan, namun rangsangan secara berulang menyebabkan bahagian korteks prefrontal, yang mengawal pembuatan keputusan dan impuls seseorang, menjadi semakin lemah.

“Apabila seseorang itu bermain terlalu lama, hormon dopamine dikeluarkan lebih banyak daripada keperluan. Sistem ganjaran otak yang sentiasa aktif melemahkan bahagian otak yang mengawal keputusan serta kawalan diri. Itu sebab ramai pemain sukar berhenti walaupun sedar tanggungjawab lain terjejas,” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, ketagihan tersebut turut menjejaskan dinamik keluarga apabila remaja menunjukkan perubahan emosi negatif seperti mudah marah dan mengutamakan permainan berbanding komunikasi dunia sebenar, khususnya dalam kalangan ahli keluarga.

Sehubungan itu tegasnya, bagi menangani isu ini disiplin keluarga memainkan peranan utama dalam membentuk tabiat penggunaan teknologi yang sihat.

Beliau turut menyarankan pemantauan berterusan, penetapan had masa harian serta rutin seperti tidak menggunakan telefon sebelum tidur bagi membantu mengurangkan ketagihan dan memulihkan kawalan diri.

Hey there! Ask me anything!