Kilang baharu GEM pacu pertumbuhan industri, hidupkan ekonomi setempat

TAIPING, 5 Disember – Pembukaan kilang baharu Green Excel Manufacturing (GEM) Sdn Bhd di Kamunting menjadi antara projek terbaharu bawah inisiatif Kerajaan MADANI, sekali gus merancakkan pertumbuhan industri berteknologi tinggi di Perak.

Kilang yang mengkhusus dalam penghasilan Cleanroom Architecture System itu bukan sahaja mewujudkan limpahan peluang pekerjaan, malah meningkatkan ekonomi setempat termasuk perniagaan kecil dan penjaja.

Bagi peniaga makanan, Surayaadha Lazzim, pertambahan pekerja di kawasan itu menjadikan jualannya lebih rancak berbanding sebelum ini.

“Kadang-kadang ada 50 bungkus, 100… ada yang sampai 200 bungkus. Memang nampak jumlah pelanggan bertambah. Sehari boleh cecah 400 hingga 500 bungkus,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Muhammad Nurhakimi Azim Ahmad Azmi, turut mengakui peningkatan pendapatan selepas lebih banyak kilang beroperasi di kawasan berkenaan.

“Sebelum kilang-kilang mula beroperasi, pendapatan kurang sikit. Sekarang ini sebab kilang dah banyak buka, naikl kira-kira 10 hingga 20 peratus,” jelasnya.

Bagi Ahmad Sufian Ahmad Azmi pula, perkembangan industri di kawasan itu menjadi faktor utama peningkatan hasil jualan mereka.

“Kehadiran kilang ini memang membantu perniagaan kami. Dari sebelum kilang buka sampai sekarang. Alhamdulillah… peningkatan hasil jualan memang kita boleh nampak,” katanya.

Secara keseluruhan, peniaga setempat menyifatkan perkembangan industri tersebut sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi kecil di kawasan terbabit.

Kilang yang beroperasi Mac lalu, dijangka merangsang pelaburan baharu di kawasan sekitar serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Hey there! Ask me anything!