PUTRAJAYA, 6 Disember – Kempen Internet Selamat (KIS) telah berjaya merekodkan penyertaan sebanyak 8,462 sekolah melibatkan hampir 370,000 pelajar setakat 30 November 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata angka itu sekali gus melepasi sasaran awal tahun ini iaitu 8,000 sekolah.
Beliau berkata KIS akan terus diperhebat pada tahun hadapan dengan tumpuan pelaksanaan di peringkat komuniti di seluruh negara.
“Kita akan memperluaskan tahun hadapan Kempen Internet Selamat ini dalam fasa atau kita panggil KIS 2.0 untuk melibatkan lebih banyak pihak dalam komuniti seperti rukun tetangga, persatuan penduduk, ahli-ahli jawatankuasa, rumah ibadat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sebagainya.
“Ini kerana kita melihat tidak mencukupi kalau kita hanya pergi ke sekolah-sekolah, kita perlu usaha bagi menjamin keselamatan dalam talian ini diperluas mencakupi seluruh masyarakat,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Mega Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.
Tambah Datuk Fahmi, KIS 2.0 akan dilancarkan dengan penganjuran pertama acara berskala besar pada Februari tahun hadapan.
“Acara besar ini akan dilaksanakan sekitar 11 Februari 2026 bersempena Hari Internet Selamat Sedunia. Tarikh tersebut pada 11 haribulan, tapi kita mungkin akan merencanakan satu acara sekitar tarikh tersebut,” jelasnya.
Selain itu, katanya KIS 2.0 peringkat komuniti akan dilaksanakan berdasarkan statistik kes kesalahan internet oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).