KKM perkukuh intervensi atasi masalah zat kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 17 November – Kerajaan memperkukuh intervensi pemakanan sihat untuk menangani isu kekurangan zat makanan (KZM) dalam kalangan kanak-kanak berisiko, khususnya daripada keluarga B40, komuniti pedalaman dan kawasan berisiko tinggi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, kerajaan melaksanakan beberapa intervensi bersasar bagi memastikan mereka menerima nutrisi mencukupi walaupun kementerian belum mempunyai program khusus untuk kanak-kanak bawah tiga tahun.

“Sememangnya kita berhasrat memberikan makanan sihat kepada semua kanak-kanak. Namun dengan keadaan fiskal yang kita hadapi, kaedah yang digunakan kini adalah secara bersasar.

“KKM mahu setiap kementerian yang terlibat dalam agihan bakul makanan mematuhi formula dan panduan pemakanan yang ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah bahawa KZM kini tidak hanya melibatkan kanak-kanak yang kekurangan zat, tetapi juga kanak-kanak yang terlebih makanan namun tidak berzat sehingga menyebabkan obesiti.

Oleh itu, beliau berkata kerjasama antara kementerian, agensi, NGO dan komuniti kesihatan amat penting bagi memastikan isu KZM ditangani secara menyeluruh, termasuk saringan pertumbuhan yang lebih kerap.

“Kami menerima saringan yang berkurangan, menyebabkan agihan bakul makanan dan nasihat kesihatan kepada ibu bapa menjadi sukar. Ramai tidak membawa anak ke klinik, dan ini menjejaskan usaha pemantauan,” katanya.

Kerjasama rentas agensi turut diperkukuh bagi memastikan menu sihat disediakan di TASKA bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Lukanisman berkata tumpuan juga diberikan kepada saringan kesihatan dan pemantauan pertumbuhan, selaras dengan dasar 1000 Hari Pertama Kehidupan, yang menekankan nutrisi terbaik sejak pra-kehamilan hingga usia dua tahun.

Beliau berharap lebih banyak sesi libat urus dengan NGO, pakar pemakanan dan pihak berkepentingan dapat dilaksanakan untuk memperkasa pemakanan sihat kanak-kanak.

Hey there! Ask me anything!