PUTRAJAYA, 24 November – Kementerian Luar Negeri terus memantau situasi banjir yang melanda Hat Yai dan beberapa daerah di selatan Thailand dengan operasi bantuan digerakkan sepenuhnya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla serta Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
- Wisma Putra aktif memantau banjir dan menggerakkan operasi bantuan melalui Konsulat Jeneral Songkhla dan Kedutaan di Bangkok.
- Pasukan operasi diaktifkan sejak 22 November bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand dan sukarelawan tempatan.
- Lebih 6,300 rakyat Malaysia telah melintasi sempadan dan selamat tiba di tanah air menurut data Imigresen.
- Bilik Operasi di Putrajaya diaktifkan untuk membantu aliran maklumat dan memudahkan penyelarasan bantuan.
Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan, pasukan operasi yang diaktifkan sejak 22 November sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand dan sukarelawan tempatan bagi membantu rakyat Malaysia yang masih terjejas di lapangan.
“Kebanyakan rakyat Malaysia di kawasan banjir dikenal pasti menginap di hotel bertingkat dan telah berjaya dihubungi oleh pihak konsulat. Setakat 24 November, lebih 6,300 rakyat Malaysia telah melintasi sempadan dan selamat tiba di tanah air berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia.
“Rakyat Malaysia yang masih berada di kawasan terjejas dan belum menerima bantuan dinasihatkan untuk segera menghubungi pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Thailand bagi memudahkan proses penyelarasan,” menurut kenyataan tersebut.
Bagi memastikan aliran maklumat dan bantuan berjalan lancar, Kementerian Luar Negeri turut mengaktifkan Bilik Operasi di Putrajaya mulai hari ini sebagai saluran tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran menghubungi pihak perwakilan di Thailand.

