KUALA LUMPUR, 8 Disember – Konflik berkaitan pemilikan dan penggunaan tanah dikenal pasti sebagai faktor utama yang boleh menjejaskan pematuhan serta kelangsungan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, berdasarkan piawaian MSPO 2022, pemilik diwajibkan mempunyai sijil hak milik tanah yang sah serta bebas daripada sebarang konflik.
“Apabila terdapat pertikaian rasmi, dua perkara berlaku iaitu audit tidak dapat mengesahkan pematuhan sepenuhnya, khususnya indikator berkaitan undang-undang hak milik dan hak komuniti.
“Risiko reputasi juga meningkat jika MSPO dilihat mengesahkan syarikat yang terlibat dalam pertikaian tanah,” katanya menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, tindakan Badan Pensijilan (ACB) menggantung sijil syarikat tersebut adalah selari dengan keperluan MSPO 2022, dalam memastikan integriti dan kredibiliti sistem pensijilan terus terpelihara.
Jelas beliau lagi, konflik seperti itu perlu diselesaikan melalui saluran perundingan bersama Kerajaan negeri atau melalui proses perundangan di mahkamah bagi memastikan penyelesaian yang adil dan telus.

