KULAI, 8 Disember – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan dana tambahan RM40,000 bagi kerja-kerja menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Bahagia di Kulai, Johor.
Jelas Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr M Noor Azman Taib, ia merupakan tambahan kepada peruntukan awal RM100,000 yang disalurkan bagi menjayakan Program Sekolah Angkat Madani KSU KPKT.
Tambah beliau, dana tersebut bertujuan memastikan kemudahan di sekolah angkat itu memberi impak positif kepada semua pihak.
“Kami amat yakin bahawa naik taraf ini bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada guru-guru sekolah, tetapi yang paling penting, ia juga memberi keselesaan kepada para pelajar.
“Keselesaan ini secara langsung akan menyokong proses pembelajaran mereka,” katanya ketika hadir pada majlis penyerahan Sekolah Angkat MADANI KSU KPKT di SK Sinar Bahagia di sini.
Mengulas lanjut katanya, antara kerja naik taraf yang dilaksanakan termasuklah mengecat semula bangunan, penggantian tingkap, penyelenggaraan sistem elektrik, serta pembaikan landskap.

