KPKT siap 100 RUKOM, transformasi kawasan terbiar jadi tempat riadah

IPOH, 6 Disember – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyiapkan 100 ruang komuniti (RUKOM) dengan menukar kawasan terbiar menjadi tempat riadah dan pembelajaran di seluruh negara.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata usaha selama dua tahun ini berjaya memperbaiki keadaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah kos rendah yang sebelum ini kotor serta tidak terurus.

Beliau berkata ruang komuniti berkenaan digunakan sebagai lokasi riadah, tempat istirahat dan kawasan pembelajaran yang lebih selamat untuk penduduk setempat.

“Saya memang berazam untuk membina bandar yang mampan dan alam sekitar lestari alam. Kita hendak pastikan bandar kita bukan sahaja berdaya bunyi, tetapi dia juga lestari alam serta yang penting, mensejahterakan rakyat.

“Setiap ruang komuniti, menelan kos lebih kurang RM20,000 hingga RM30,000. Kita belanja kurang daripada RM3,000,000. Sudah siap 100 ruang komuniti di sini”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan RUKOM ke-100 yang juga ruang komuniti ke-12 di Perak di Projek Perumahan Rakyat Seri Kepayang, Ipoh.

Beliau turut memaklumkan pembangunan Taman MADANI terus menunjukkan kemajuan pesat dengan 216 taman siap dibina di seluruh negara, termasuk 34 di Perak.

Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM85.6 juta tahun depan untuk membina 100 lagi Taman MADANI baharu melalui Jabatan Landskap Negara.

Hey there! Ask me anything!