KPM komited naik taraf pendidikan Tingkatan Enam

SELAYANG, 13 Julai– Kementerian Pendidikan (KPM) komited menjadikan Tingkatan Enam sebagai salah satu pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian.

Ke arah itu, kementerian itu berhasrat menjenamakan semula Kolej Tingkatan Enam kepada Kolej Pra Universiti KPM.

Menterinya, Fadhlina Sidek menyifatkan langkah itu akan memberi imej baharu di peringkat pendidikan Tingkatan Enam.

“Kita juga berhasrat untuk memberikan hala tuju dan imej yang prestij kepada Tingkatan Enam ini. Antara lain, termasuklah memberi kuasa autonomi kepada pengetua untuk menawarkan Tingkatan Enam ini kepada anak-anak murid yang berkelayakan. Kita juga sedang melihat dalam konteks menaikkan taraf guru-guru cemerlang.

Begitu juga, memberikan nama baharu kepada kolej Tingkatan Enam ini. Dari semasa ke semasa, fasiliti, infrastruktur dan keperluan Tingkatan Enam ini akan dipertingkatkan,” kata Fadhlina kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) bagi tahun 2022, di sini.

Tambahnya, KPM juga sedang berusaha meningkatkan bilangan guru cemerlang Tingkatan Enam yang kini jumlahnya adalah 0.5 peratus atau kira-kira 60 orang daripada jumlah keseluruhan guru akademik bagi peringkat pendidikan itu.

Pada majlis itu, beliau merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian cemerlang calon STPM 2022 dan pencapaian PNGK Nasional STPM yang meningkat kepada 2.82, tertinggi sepanjang pelaksanaan peperiksaan STPM.


(FOTO BERNAMA)

Sementara itu, Fadhlina turut memaklumkan KPM akan memberi kuasa autonomi kepada pengetua pusat sekolah Tingkatan Enam untuk melonggarkan syarat kemasukan pelajar ke peringkat pendidikan itu.

Jelasnya, pemberian autonomi itu membolehkan pengetua diberi kebenaran menawarkan kemasukan STPM kepada murid yang berkelayakan dan memerlukan untuk menyambung pelajaran, sekiranya masih terdapat kekosongan.

“Pembaharuan ini adalah untuk memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar untuk meneruskan pengajian ke institusi bawah KPM. Autonomi ini akan membolehkan pengetua mengenal pasti sendiri pelajar yang berpotensi, barang kali memerlukan panduan untuk masuk belajar dan menawarkan kepada pelajar pelajar ini untuk mengikuti pengajian di Tingkatan Enam.

Kedua, untuk mengurangkan kadar keciciran, sekiranya ada. Mereka ini kita kenal pasti seharusnya ada ruang untuk sambung belajar tapi tiada akses,” tambahnya.

Hey there! Ask me anything!