GEORGE TOWN, 23 November – Operasi mencari seorang kru kapal warga Indonesia yang hilang sejak kelmarin berakhir selepas mangsa ditemukan lemas di perairan Pulau Keramat, Tanjung Bungah, petang tadi.
- Mayat kru kapal warga Indonesia berusia 46 tahun ditemukan lemas di perairan Pulau Keramat, Tanjung Bungah petang tadi.
- Mayat ditemukan oleh seorang nelayan sekitar pukul 4.35 petang dan dibawa ke pesisir sebelum diserahkan kepada polis.
- Operasi pencarian melibatkan lapan anggota JBPM dari Butterworth dan Bagan Jermal, ditamatkan sepenuhnya pada 7.40 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata mangsa berusia 46 tahun itu ditemukan oleh seorang nelayan pada sekitar pukul 4.35 petang.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya membantu membawa naik mayat mangsa ke pesisir pantai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati lelaki tersebut adalah kru kapal yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kapal di Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya.
Operasi pencarian itu melibatkan lapan anggota termasuk seorang penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dan Bagan Jermal, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 7.40 malam.
Terdahulu, media melaporkan pihak bomba menerima panggilan daripada polis pada pukul 3.55 petang bagi membantu mengesan mangsa yang dipercayai terjatuh antara pukul 10 malam hingga 2 pagi.

