KLUANG, 22 November – Ruang dan landasan kereta api lama yang tidak lagi digunakan berpotensi dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancongan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara contoh kejayaan inisiatif tersebut ialah Laman Rel Mahkota yang dibangunkan di landasan lama Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kluang.
Laman Rel Mahkota kini menjadi salah satu lokasi tumpuan di Kluang, menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Selaras dengan usaha itu, sebuah projek pembangunan baharu turut sedang dilaksanakan berhampiran Stesen KTM Seremban, Negeri Sembilan.
“Jadi banyak lagi tempat dan lokasi lain yang ada landasan kereta api akan dibangunkan semula. Saya harap projek ini dapat memberikan tempias ekonomi kepada masyarakat setempat kerana apabila kita dapat perhatian, ramai pengguna datang, maka ada pasaran untuk produk tempatan dipasarkan dan dijual kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Rel Kluang di Laman Rel Mahkota, Kluang, yang dianjurkan bersempena pelancaran rasmi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) pada 23 Ogos lalu.

