Langkah susulan terhadap usul Ahli Parlimen Kota Bharu dirujuk kepada Jawatankuasa Parlimen

KUALA LUMPUR, 5 Disember – Jemaah Menteri memutuskan bahawa usul melibatkan Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi penelitian lanjut selaras dengan Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia susulan kenyataan berunsur fitnah yang didakwa dibuat Ahli Parlimen berkenaan terhadap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 22 Oktober lalu.

“Sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.

“Keputusan ini juga diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan di dalam Dewan Rakyat pada 4 Disember 2025,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan MADANI yakin Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian itu dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan.

Justeru tidak wajar Parlimen dijadikan medan untuk mana-mana Ahli Dewan bertindak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan tohmahan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi perundangan negara.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk memelihara martabat Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, serta memastikan setiap isu yang timbul ditangani secara berhemah dan berlandaskan amalan demokrasi berparlimen,” tambah kenyataan itu.

Hey there! Ask me anything!