Lawatan rasmi pertama PM ke Ethiopia

KUALA LUMPUR, 18 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Ethiopia bermula hari ini hingga 20 November.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi Anwar ke Ethiopia sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik sejak 1965, atas jemputan Perdana Menteri Ethiopia.
  • Opening semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa menandakan komitmen memperkukuh hubungan dua hala.
  • Perbincangan dua hala fokus pada perdagangan, pelaburan, pertanian, kesihatan, pelancongan dan pendidikan serta pertukaran MoU.
  • Anwar akan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia–Ethiopia, bertemu pemimpin Afrika dan menyampaikan syarahan kepada belia pan-Afrika.

Kenyataan Wisma Putra memaklumkan, lawatan rasmi itu merupakan jemputan Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali, memberi makna penting bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara sejak 1965.

Ia juga susulan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 September lepas, sekaligus menandakan komitmen berterusan Kuala Lumpur untuk memperkukuh hubungan dua hala.

Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta delegasi pemimpin perniagaan.

Jadual padat menanti Datuk Seri Anwar, antaranya mesyuarat dua hala bersama Abiy. 

Perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama meliputi pelbagai sektor seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian serta komoditi, kesihatan, pelancongan juga pendidikan.

Kedua-dua pemimpin turut akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama khususnya berkaitan perkembangan di ASEAN dan benua Afrika.

Datuk Seri Anwar dan Abiy juga dijangka menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antaranya, MoU Kerjasama Pelancongan, Perjanjian Perkhidmatan Udara serta Pertukaran Nota Diplomatik berhubung Konsultasi Dua Hala.

Selain mesyuarat rasmi, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia, Taye Atske Selassie, serta menghadiri Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–Ethiopia.

Beliau juga dijangka bertemu Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf, dan menyampaikan syarahan khas bertajuk “Menghubungkan Peradaban, Membina Masa Hadapan: Memperkukuh Kerjasama Afro-Malaysia demi Kemakmuran Bersama” kepada Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Ethiopia.

Pada tahun 2024, Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di Afrika dengan jumlah perdagangan RM625.6 juta, meningkat 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selepas Ethiopia, Datuk Seri Anwar akan ke Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20 di Johannesburg sebelum mengakhiri lawatan ke Kenya.

Hey there! Ask me anything!