Lebih 180 juta e-Invois dihantar sektor perdagangan borong & runcit, kukuh ekosistem cukai

KUALA LUMPUR, 4 Disember – Sektor perdagangan borong dan runcit merekodkan lebih 180 juta penghantaran e-Invois sejak dilaksana pada 1 Ogos 2024, ia menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi sekali gus membuktikan keberkesanan e-Invois dalam memperkukuh integriti ekosistem percukaian negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kedua-dua sektor berkenaan turut dikenal pasti sebagai segmen berisiko mempunyai ketirisan hasil susulan jumlah transaksi besar melibatkan rantaian pembekal dan pengguna yang luas.

Justeru, penggunaan Sistem e-Invois dilihat sebagai langkah berkesan untuk menutup ruang ketirisan hasil.

“Sektor perdagangan borong dan runcit merupakan penyumbang utama kepada sistem itu dengan merekodkan lebih 180 juta penghantaran e-Invois. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan tahap pematuhan yang tinggi.

“Malah membuktikan keberkesanan e-Invois dalam memperkukuh integriti ekosistem percukaian negara melalui rekod transaksi masa nyata, pengurangan manipulasi e-Invois serta penutupan ruang ketirisan hasil,” katanya.

Penyataan tersebut bagi menjawab soalan daripada Senator Datuk Low Kian Chuan berhubung keberkesanan pelaksanaan e-invois dalam membantu mengatasi ketirisan hasil.

Berdasarkan analisis pematuhan dan corak transaksi, sektor yang turut dikenal pasti mempunyai risiko ketirisan hasil paling tinggi termasuk perkhidmatan profesional tertentu dan aktiviti perniagaan berasaskan tunai.

Pendekatan e-Invois penting untuk memastikan hasil negara dipelihara supaya kerajaan terus mampu menyalurkan lebih banyak bantuan dan perkhidmatan sosial kepada rakyat terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang memerlukan sokongan berterusan dalam ekonomi yang mencabar.

e-Invois kini berada pada fasa ketiga selepas setahun pelaksanaannya, melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan RM5 juta hingga RM25 juta bermula 1 Julai lepas.

Hey there! Ask me anything!