DUNGUN, 17 Disember – Seorang lelaki cedera parah selepas terkena libasan parang yang digunakan sendiri ketika mencari kayu gaharu di kawasan hutan berhampiran rumahnya di Kampung Serdang, petang Selasa.
Kejadian kira-kira pukul 6.00 petang itu menyebabkan mangsa berusia 39 tahun tidak mampu bergerak keluar dari hutan sebelum diselamatkan pasukan bomba dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hampir dua jam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal Shamsudin berkata, mangsa bersama seorang rakan telah memasuki kawasan hutan berkenaan sejak kira-kira jam 8.00 pagi untuk mencari kayu gaharu.
Menurut beliau, ketika sedang memotong kayu, parang yang digunakan mangsa terlibas dan terkena kaki kanan sehingga menyebabkan pendarahan serius.
“Bomba menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa pada pukul 7.30 malam sebelum operasi SAR dimulakan pada pukul 8.00 malam dengan kekuatan 15 anggota,” katanya.
Sharizal berkata, pasukan bomba terpaksa menggunakan sebuah bot untuk menyeberangi kawasan berhampiran loji air sebelum meneruskan perjalanan ke kaki bukit dan seterusnya ke lokasi mangsa yang terletak kira-kira 600 meter dari kawasan akses utama.
Mangsa diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian bagi menghentikan pendarahan sebelum dibawa keluar dari hutan sejauh hampir 300 meter.
Mangsa bersama rakannya berjaya dikeluarkan pada pukul 9.50 malam sebelum dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.