BINTULU, 8 Disember – Lelaki yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kolam di kawasan Simpang Rumah Panjang Kiroh Anak Bali, Tatau, ditemukan maut pagi tadi.
Mayat mangsa, Daniel Jumau, 23 tahun, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon 5 pada kedalaman kira-kira enam meter pada pukul 10.41 pagi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di kolam berkenaan.
“Rakan mangsa menemui tuala dan selipar di tepi kolam sebelum membuat laporan polis,” menurut kenyataan tersebut.
Operasi diselaraskan Komander Operasi PBT II Herudin Ealhi.
Jelas PGO JBPM Sarawak lagi, operasi hari kedua disambung pada pukul 9.50 pagi, melibatkan 14 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, dibantu empat anggota PPDA dari Bintulu serta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pasukan PPDA memulakan selaman pertama pada jarak satu meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh sebelum menemui mangsa di dasar kolam.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 11.01 pagi,” menurut kenyataan itu.

