ALOR SETAR, 1 Disember – Penduduk terjejas banjir di Kedah dan Perlis diminta meletakkan barangan yang rosak serta sisa pepejal lain di hadapan rumah masing-masing, bagi memudahkan operasi pembersihan dan kutipan yang dijalankan syarikat pengurusan sisa pepejal, E-Idaman Sendirian Berhad (EISB) secara berperingkat.
Menurut kenyataan EISB, penduduk perlu memastikan sisa dapur diikat dengan kemas sebelum dibuang ke dalam tong sampah dan menggunakan tong roro yang disediakan dengan sebaik mungkin, selain perlu mengasingkan barangan yang hendak dibuang daripada barangan yang dijemur.
Usaha pembersihan sisa pasca banjir sedang dilakukan di beberapa lokasi di Kedah dengan kekuatan kira-kira 50 orang pembersihan dan 19 jentera dan kontraktor EISB.
Antaranya, di Taman Sayang, Taman Chengal, Taman Seri Kelubi, dan Taman Seri Utama di Kubang Pasu serta Taman Laman Kuda dan Alor Merah di Alor Setar.
Menurut syarikat itu, penduduk tidak perlu menyewa tong kerana semua fasiliti pembersihan disediakan.