MA63 diteruskan, 11 perkara telah diputuskan – PM

KOTA KINABALU, 6 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri akan diteruskan.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 11 perkara telah diputuskan, manakala beberapa perkara lain masih dalam peringkat perbincangan.

Antara perkara yang sedang diperhalusi termasuk pindaan undang-undang Parlimen selain penyerahan kuasa kawal selia elektrik serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita akan teruskan kerana belum pernah dalam sejarah penubuhan Malaysia ini ada komitmen dan pelaksanaan yang lebih jelas seperti sekarang.

“Sebelas perkara telah diputuskan dan beberapa lagi sedang dibawa untuk pertimbangan termasuk yang memerlukan pindaan undang-undang Parlimen. Semua ini boleh dilaksanakan termasuk isu penyerahan kuasa elektrik dan beberapa perkara teknikal lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut memberi komitmen bahawa Kerajaan Persekutuan akan menyerahkan 40 peratus hasil kepada Sabah mengikut peruntukan sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Negeri Sabah.

Hey there! Ask me anything!