SEPANG, 25 Disember – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan 16 inisiatif penambahbaikan fasiliti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, bagi meningkatkan aliran penumpang serta kecekapan operasi sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Pengurus Besar Operasi Terminal 2, Shahrunnizam Abd Jamil berkata, antara tumpuan utama ialah penambahbaikan proses daftar masuk, pelepasan dan pengendalian bagasi, bagi memenuhi peningkatan trafik terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
“Kami telah membuat penambahbaikan di kawasan kaunter daftar masuk, memperkenalkan kemudahan ‘self-service bag drop’, serta membuka lebih banyak ruang daftar masuk bagasi.Dengan mengurangkan semua proses serta mewujudkan kemudahan yang mampu menampung kapasiti diperlukan, keseluruhan aliran operasi akan menjadi lebih lancar.
“Inilah yang ingin dicapai dan objektif utama kami adalah untuk menetapkan perkhidmatan yang benar-benar berorientasikan pelanggan, dengan mengambil kira kepentingan dan keperluan mereka, tanpa sekali-kali mengabaikan aspek keselamatan dan sekuriti penumpang,” katanya pada Program Media Walkabout KLIA Terminal 2, di Sepang, baru-baru ini.
Ujarnya, penambahbaikan itu dibuat berdasarkan maklum balas penumpang dan analisis data, termasuk maklum balas yang diterima melalui media sosial, selaras dengan pendekatan berfokuskan pelanggan .
Antara penambahbaikan lain ialah tandas bertaraf lima bintang, ruang solat yang lebih selesa, troli bagasi rekaan baharu untuk meningkatkan keselamatan, serta penambahan kerusi roda dan stroller kanak-kanak.
Beliau turut menekankan pengenalan ‘movie lounge’ bagi penumpang transit yang menunggu lebih lama.
Bersempena TMM 2026, pihaknya bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mempromosi budaya tempatan dan produk pelancongan di terminal.