KUALA LUMPUR, 4 Disember – Malaysia komited perkukuh kerjasama sub serantau termasuk melalui platform Brunei–Indonesia–Malaysia–Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA), sebagai usaha meningkatkan integrasi ekonomi dan pembangunan seimbang di rantau ini.
Jelas Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, BIMP-EAGA kekal relevan dalam merapatkan hubungan ekonomi antara negara jiran, khususnya Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina, melalui pengukuhan perdagangan sempadan.
“Peranan BIMP-EAGA memang penting, dan kita akan memperkasa semua platform serta mekanisme sedia ada untuk merapatkan hubungan baik, hubungan ekonomi mahupun hubungan antara negara-negara terlibat.
“Sebagai contoh, perdagangan sempadan antara Malaysia dan negara jiran seperti Indonesia perlu kita perkasakan, begitu juga dengan Brunei dan Filipina. Semua mekanisme yang telah tersedia ini perlu kita manfaatkan sepenuhnya,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Suan, di Parlimen.
Senator Datuk Bobbey Suan meminta penjelasan mengenai perancangan kerajaan untuk memperluas peranan BIMP-EAGA khususnya dalam merancakkan pembangunan ekonomi, sosial dan sektor berkaitan di Malaysia Timur.
Terdahulu, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan bahawa sepanjang hampir setahun memegang kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia berjaya melaksanakan mandat dengan cemerlang melalui usaha memperkukuh keamanan, kestabilan pembangunan komuniti, kerjasama dan integrasi ekonomi serantau.
Ia sekali gus meneguhkan peranan negara sebagai peneraju serantau yang berwibawa dan dihormati.