Malaysia main peranan aktif dalam pemeliharaan Antartika – Sultan Terengganu

KAJANG, 8 Disember– Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa Malaysia memikul amanah moral, ilmiah dan global dalam memelihara kelestarian benua Antartika, berikutan setiap perubahan memberi kesan langsung terhadap negara.

Tambah baginda, sebagai negara pihak kepada Traktat Antartika 1959, Malaysia bertanggungjawab memainkan peranan lebih signifikan dalam usaha antarabangsa menangani perubahan iklim sekali gus memastikan bumi terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Usaha memelihara benua terancam itu semakin mendesak apabila paras air laut meningkat sebanyak 7.4 milimeter akibat pemanasan global, menurut Laporan Penilaian Keenam IPCC.

“Laporan Antarctic Treaty Consultative Meeting 2025 turut memandang serius isu mikroplastik dan mencadangkan pelan tindakan segera bagi menanganinya,” titah baginda pada Sambutan Hari Antartika 2025 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Sementara itu, Sultan Mizan turut mengimbau pencapaian penting Malaysia dalam diplomasi Antartika apabila Malaysia mencetuskan inisiatif ‘Question of Antarctica’ pada UNGA 1982, yang menegaskan bahawa Antartika adalah warisan bersama manusia dan perlu ditadbir secara telus serta inklusif.

“Legasi ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara negara terawal memperjuangkan prinsip keadilan dalam diplomasi Antartika,” jelas baginda.

Pada majlis berkenaan, Sultan Mizan selaku Penaung Yayasan Penyelidikan Sultan Mizan (YPASM) berkenan menyampaikan Geran Penyelidikan YPASM kepada penyelidik daripada 12 universiti bagi melaksanakan kajian berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan iklim.

Baginda turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kolaborasi antara YPASM dan 12 universiti tempatan bagi Kitaran Ketiga Smart Partnership Initiative bagi tempoh 2026-2030.

Hey there! Ask me anything!