Malaysia pertahan kerusi Majlis IMO bagi penggal 2026-2027

KUALA LUMPUR, 29 November – Malaysia berjaya mempertahankan kerusi Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Kategori C bagi penggal 2026-2027 untuk kali ke-11 berturut-turut.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, Malaysia berada di kedudukan ke-13 daripada 20 kerusi yang dipertandingkan dengan memperoleh 129 undi daripada sejumlah 171 undian yang sah.

“Sokongan berterusan ini mencerminkan keyakinan Negara-Negara Anggota IMO terhadap peranan aktif Malaysia, rekod sebagai rakan maritim yang boleh dipercayai serta komitmen negara dalam keselamatan maritim, perlindungan alam sekitar dan pembangunan kapasiti global.

“Kejayaan itu didorong kerjasama strategik dan penyelarasan erat antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar, Jabatan Laut Malaysia, pihak berkuasa pelabuhan serta wakil industri dan persatuan maritim.

“Usaha kolektif ini memastikan Malaysia terus diiktiraf sebagai rakan konstruktif dalam komuniti maritim antarabangsa,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut MOT, selaras dengan mandat yang diperbaharu, Malaysia akan memperkasa peranan dalam program pembangunan kapasiti melalui program IMO Integrated Technical Cooperation Programme (ITCP).

Katanya, ia termasuk menawarkan kepakaran teknikal, latihan profesional dan sokongan pembangunan modal insan khususnya kepada negara membangun, negara kurang membangun (LDCs) dan negara kepulauan kecil (SIDS).

“Kementerian Pengangkutan akan mengenal pasti negara-negara anggota yang berpotensi menerima manfaat langsung daripada kepakaran Malaysia.

“Malaysia juga komited untuk meningkatkan penyertaan dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa Utama IMO seperti Maritime Safety Committee, Marine Environment Protection Committee, Legal Committee, Technical Cooperation Committee dan Facilitation Committee,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Malaysia akan terus menyokong serta memajukan inisiatif-inisiatif yang memperkukuhkan keselamatan, perlindungan alam sekitar, dan tadbir urus maritim global.

Hey there! Ask me anything!